Pages

TIKUS ( RAT / MOUSE )

Tikus banyak menimbulkan masalah di segenap penjuru dunia dengan sentiasa mengekori ke mana sahaja manusia berada. Populasi tikus seluruh dunia menunjukkan peningkatan yang tinggi lebih-lebih lagi dengan suasana pergerakan komoditi makanan, pergerakan barangan serta manusia melalui berbagai kenderaan ke seluruh pelusuk dunia.Tikus merupakan antara musuh manusia yang paling tegar dan menyebabkan berbagai penyakit yang merbahaya termasuklah wabak, kencing tikus (Leptospirosis), keracunan makanan, penyakit alahan tikus dan lain-lain. Penyakit berpunca dari tikus pernah membunuh seramai 25 juta rakyat Eropah pada abad ke-14 dan berjuta lagi selepas itu di tempat-tempat yang lain.

Tiga Jenis Tikus Yang Biasa Terdapat Di Malaysia adalah Tikus Norway, Tikus Bumbung, dan Tikus Rumah:

Tikus Norway - Rattus Norvegicus
  • Besar dan cergas
  • Berat dalam linkungan 300g, saiz badan antara 19 ke 22 cm, panjang ekor sekitar 15 ke 22cm
  • Mempunyai muncung muka yang mendatar
  • Telinga yang kecil diliputi sedikit bulu
  • Punyai mata yang kecil
  • Ekornya gelap pada bahagian atas dan cerah di bahagian bawah
  • Bulunya kasar, berwarna coklat bercampur hitam pada bahagian atas badan dan kelabu atau kuning keputihan pada bahagian bawah badan
  • Najis berbentuk kapsul sebesar 20mm
  • Penglihatannya rabun dan buta warna tetapi mempunyai deria bau yang amat baik
  • Pemakanannya bersifat "omnivorous" atau pelbagai dan lebih kepada bahan berdaging seperti ikan dan lain-lain. Makan dalam lingkungan 28g sehari.
  • Amat berhati-hati dengan objek baru dan penakut
  • Boleh memanjat tetapi tidak berapa tangkas dan cekap berenang.
  • Tinggal di dalam lubang di dalam tanah
  • Berkeliaran di sekitar 20m ke 50m dari kawasan sarangnya
  • Hidup dalam lingkungan 9 ke 12 bulan
  • Matang sekitar umur 2 ke 3 bulan
  • Sekali beranak sekitar 8 ke 12 ekor dan sebanyak 7 kali setahun.

Tikus Bumbung - Rattus Rattus

  • Rapi licik dan lebih kecil dari Tikus Norway
  • Berat sekitar 200g, panjang badan sekitar 15 ke 22 cm, dan ekornya lebih panjang dari badan sekitar 18 ke 25 cm
  • Muncung mukanya lebih runcing atau tajam
  • Bertelingan besar dan licin
  • Bermata galak dan besar
  • Keseluruhan ekornya berwarna gelap
  • Bulunya perang kehitaman dan lembut kemas
  • Najis berbentuk panjang kecil dan tajam dihujung dalam saiz 12mm
  • Rabun dan juga buta warna. Punyai deria bau yang amat baik
  • Pemakanan bersifat omnivorous tetapi lebih kepada bijirin dan buah-buahan. Makan sebanyak 28g sehari
  • Amat berhati-hati kepada objek baru dan penakut
  • Amat cergas dan aktif memanjat
  • Bersarang pada bahagian atas rumah seperti loteng atau bumbung
  • Boleh berenang tetapi tidak gemar kepada air
  • Berkeliaran sekitar 30m ke 60m dari kawasan sarang
  • Jangkahayat sekitar 9 ke 12 bulan
  • Matang sekitar umur 2 ke 3 bulan
  • Beranak dalam lingkungan 6 ke 10 ekor sebanyak 6 kali setahun

Tikus Rumah - House Mouse
  • Berbentuk kecil dan ramping
  • Hanya seberat 15g
  • Saiz badan sekitar 6 ke 9cm, ekor sepanjang 7 ke 10cm
  • Bentuk mulut yang muncung atau tajam
  • Punyai telinga besar dan mata yang kecil
  • Ekor kecil yang gelap keseluruhannya
  • Berwarna coklat cerah atau perang atau hitam
  • Najis berbentuk rod dan kecil sepanjang 3 ke 6mm
  • Rabun dan buta warna, juga punyai deria bau yang amat baik
  • Lebih gemar kepada bijirin dan makan sebanyak 3g sahaja sehari
  • Sumber minuman biasanya diambil dari makanan
  • Tidak sensitif kepada objek baru dan tidak penakut
  • Boleh memanjat
  • Bersendiri dan bersarang sekitar kawasan makanan
  • Boleh berenang
  • Berkeliaran sekitar 3m ke 6m sekeliling sarang
  • Jangkahayat antara 9 ke 12 bulan
  • Matang setelah berumur 1.5 bulan
  • Beranak sekitar 5 ke 7 ekor sebanyak 8 kali setahun




ANAI-ANAI ( TERMITE )





Anai-anai merupakan serangga di bawah kumpulan Isoptera. Isoptera merujuk kepada peringkat pembiakan dewasa yang mempunyai dua pasang sayap yang sama saiznya. Struktur badannya yang ringkas menunjukkan anai-anai telah berpecah daripada moyangnya semasa evolusi serangga melalui metamorphosis berperingkat sejak zaman dahulu kala lagi. Walaupun morfologinya ringkas namun anai-anai sangat maju dalam tingkah laku sosialnya.

Taburan terkini menunjukkan bahawa terdapat 2800 nama spesis yang sah dalam 285 genera di muka bumi ini.

Sebahagian besar anai-anai terdapat di kawasan tropika dan ia adalah serangga sosial yang sama seperti semut, tebuan dan lebah. Mereka mempamerkan penjagaan induk dalam kalangan komuniti sosial atau koloninya. Koloni adalah satu keluarga besar serangga. Dalam keluarga ini terdapat pertindihan di antara ibubapa dan generasi anak-anaknya. Sesetengah anaknya akan berpecah daripada pertumbuhan biasa untuk menjadi kasta yang lain. Anai-anai tidak seperti serangga lain yang mempunyai satu laluan pertumbuhan, ia mempunya laluan pertumbuhan yang bercabang.

Keluarga
Anai-anai dikatakan hidup di dalam koloni tetapi ini adalah mengelirukan. Koloni merupakan sebuah keluarga serangga yang besar. Salah satu ciri yang paling mendalam dan menentukan keluarga anai-anai ialah ia dibina di atas monogami. Anai-anai adalah serangga yang setia. Mereka mungkin kumpulan haiwan yang paling monogami di muka bumi. Hasil evolusi daripada komitmen ini kepada monogami melahirkan sebuah keluarga yang besar dan bersepadu. Ahli biologi menyatakan bahawa koloni anai-anai merupakan koloni yang paling canggih berkembang di alam semesta. Manusia juga tidak secanggih anai-anai dalam perkembangan koloni namun manusia sangat canggih dalam sistem sosial.
Koloni anai-anai terdiri daripada 3 kasta asas iaitu pekerja, askar dan pembiak.

Telur:
Telur akan menetas menjadi larva yang belum matang dan ia masih tidak mampu untuk makan sendiri. Secara genetiknya, larva berkemampuan untuk membentuk menjadi mana-mana kasta. Masa dan cara pemakanan anai-anai yang menentukan laluan pembentukkannya untuk menjadi kasta yang bersesuaian.

Pekerja:
Anai- anai Pekerja terdiri daripada sebahagian besar daripada populasi. Dalam peringkat anai-anai rendah, terdapat pseudergate palsu yang mengekalkan potensinya untuk menjadi kelkatu. Pekerja akan menyuap makan kepada  nimfa, askar dan anai-anai pembiak. Mereka juga menggali terowong, mencari makanan dan minuman, serta membina dan membaiki sarangnya. Bagi sesetengah spesis, mereka juga perlu membersihkan kulat.

Askar:
Askar terbentuk daripada nimfa, pseudergate dan pekerja. Metamorposis berlaku melalui proses molting. Peringkat peralihan dipanggil pra-askar. Askar mempunyai bahagian mulut yang istimewa bagi tujuan pertahanan untuk menentang pelbagai pemangsa seperti semut dan lipan.

Pembiak:
Pembiak terbentuk daripada kelkatu ataupun neotenic. Kelkatu adalah anai-anai bersayap dan hanya dihasilkan pada musim-musim tertentu. Kelkatu akan membentuk sayap dan mata kompaun untuk terbang keluar. Setelah terbang keluar, kelkatu akan melepaskan sayapnya dan dikenali sebagai kelkatu tidak bersayap. Kelkatu tidak bersayap akan membentuk seiring dengan pasangannya bagi tujuan mengawan dan seterusnya akan membentuk satu keluarga. Pasangan itu akan menjadi permaisuri dan raja bagi koloni yang baru.

Pembiak Utama:
Saiz betina mahupun permaisuri berbeza mengikut spesis. Kebiasaan, saiznya ialah 10cm dan mampu menghasilkan beribu-ribu telur sehari. Permaisuri tidak boleh bergerak dan bergantung sepenuhnya terhadap pekerja.  Die dibersihkan dan diberi makan oleh pekerja. Dia juga ditemani oleh pasangannya yang kecil iaitu raja. Satu koloni kebiasaanya mempunyai satu permaisuri dan satu raja tetapi kadangkala sesetengah spesis juga berisiko mempunyai beberapa pembiak.

Kitaran Hidup
Anai-anai subteranian adalah anai-anai yang menghuni di dalam tanah dan merupakan serangga sosial yang hidup dalam koloni. Koloni anai-anai subteranian boleh hidup sejauh 18-20 kaki daripada permukaan tanah bagi melindungi mereka daripada cuaca yang melampau.

Koloni anai-anai yang matang mempunyai tiga kasta iaitu pembiak (raja dan permaisuri), askar dan pekerja.

Koloni baru akan terbentuk apabila anai-anai jantan dan anai-anai betina yang bersayap (kelkatu) terbang keluar daripada koloni asal. Kesemua kelkatu jantan dan betina akan terbang keluar pada jarak yang berbeza-beza dan peratus bagi mereka membina sebuah koloni yang baru adalah amat kecil. Hal ini kerana, mereka mungkin akan diserang oleh pemangsa seperti burung, katak, serangga lain dan kebanyakkannya mati disebabkan dihidrasi dan kecederaan.

Pasangan kelkatu yang berjaya hidup akan terus membuat satu sarang kecil di dalam tanah sebelum mereka mengawan. Mereka akan menggali tanah yang berhampiran dengan kayu kemudian akan memasuki ruang tersebut dan menutup semula pembukaannya. Pada permulaannya, permaisuri hanya bertelur beberapa biji telur sahaja. Anai-anai betina yang subur hanya menghasilkan 6 ke 20 biji telur pada enam bulan pertama selepas mereka keluar daripada sarang asalnya dan mereka mungkin akan menghasilkan lebih daripada 60,000 telur sepanjang hayat mereka. Raja anai-anai akan tinggal bersama permaisurinya untuk proses mengawan secara berkala bagi memastikan jumlah telur mereka akan berkembang secara berterusan. Permaisuri mereka juga mampu untuk hidup sehingga 25 tahun.
 
Kelakuan Anai-Anai.
Permaisuri anai-anai boleh hidup sehingga 25 tahun dan mampu bertelur sebanyak 60,000 telur sepanjang hayat mereka. Telur anai-anai berwarna kuning keputihan dan akan menetas selepas 50-60 hari pengeraman.
Telur anai-anai tidak dihasilkan secara berterusan dan hanya beberapa ratus sahaja yang dihasilkan pada tahun pertama. Pada tahun berikutnya, permaisuri anai-anai akan semakin membesar dan menghasilkan lebih banyak telur. Telur akan menetas menjadi larva dalam beberapa minggu dan ia akan dijaga oleh raja dan permaisuri anai-anai. Koloni mereka akan stabil apabila permaisurinya mencapai tahap maksimum bagi pengeluaran telur. Jika permaisurinya mati, maka pembiak kedua akan mengambil alih tugas permaisuri.

Anai-Anai Pekerja.
Selepas mengalami fasa larva, anai-anai akan membesar menjadi pekerja. Anai-anai pekerja mempunyai badan yang lembut, tidak bersayap, buta dan berwarna putih krim. Saiz mereka dalam 1/8 inci panjang dan tidak mempunyai sayap.

Mereka melakukan kesemua kerja dalam koloninya seperti mendapatkan makanan, menyuap makanan kepada kasta anai-anai yang lain, menjaga larva, mengorek kayu dan membina terowong. Anai-anai pekerja akan matang dalam masa setahun dan boleh hidup dalam masa tiga ke lima tahun.

Kita selalu tertanya-tanya bagaimanakah makhluk kecil yang berbadan lembut ini boleh merosakkan harta kita dan bagaimana mereka boleh mencerna bahan-bahan yang mempunyai selulosa yang keras.

Jawapannya, walaupun mereka mempunyai badan yang lembut, namun rahangnya yang keras dan tajam boleh mengoyakkan dan mampu untuk menggigit bahagian-bahagian kecil kayu pada sesuatu masa. Anai-anai selalunya menyerang bangunan, kayu yang rosak, panel kayu, lantai, kertas dinding, plastik, produk kertas dan kain yang diperbuat daripada serat tumbuh-tumbuhan.

Anai-anai subteranian tidak boleh mencerna selulosa secara terus. Mereka bergantung kepada protozoa yang hidup di dalam perut anai-anai bagi memecahkan selulosa kepada asid asetik ringkas. Pekerja anai-anai dan nimfa dewasa akan memakan kayu dan berkongsi khasiatnya bersama generasi yang muda, pekerja-pekerja, askar dan pembiak.

Anai-Anai Askar.
Sinonim dengan namanya, tugas anai-anai askar ialah untuk mempertahankan koloninya daripada musuh seperti semut, lipas dan haiwan lain. Kebanyakkan spesis, askarnya akan dilengkapi dengan mandibel yang keras dan besar. Sesetengah spesis pula mempunyai cecair getah yang akan dirembeskan apabila diserang. Anai-anai askar bergantung kepada anai-anai pekerja untuk memberi mereka makan dan membersihkan mereka. Beberapa spesis mempunyai purata askar kepada pekerja sebanyak 2:8.

Kelkatu
Kelkatu dikenali dengan ‘alates/swarmer’ dalam Bahasa Inggeris. Mereka kebiasaannya terbang keluar selepas waktu hujan. Hal ini mungkin kerana pada masa tersebut keadaan angin agak sesuai dan suhu yang selesa. Kelkatu tertarik kepada cahaya dan mereka akan mencari pasangannya pada waktu tersebut.

Anai-anai hanya mempunyai mata pada peringkat kelkatu. Apabila mereka telah menemui pasangannya, mereka akan menanggalkan sayapnya dan mencari tempat untuk membina koloni. Ini adalah permulaan bagi koloni baru.

Mereka akan mengawan dan anai-anai betina akan mula bertelur. Anai-anai betina seterusnya akan menjadi permaisuri dan anai-anai jantan akan menjadi raja. Permaisuri masih mencari makanan pada generasi nimfa mereka yang pertama.

Ekologi Anai-Anai.
Makanan bagi anai-anai ialah sel tumbuhan yang telah mati, kayu, daun-daun kering, tumbuhan rendah yang telah mati, rumput, najis dan humus. Secara kimianya, makanan mereka boleh dikategorikan sebagai bahan lignoselulosa, iaitu bahan yang kaya dengan bahan organik di dalam biosphera. Anai-anai mampu mencernakan selulosa, dan beberapa spesis lain mampu untuk mencernakan lignin, dengan bantuan daripada simbiosis protozoa dan bakteria yang terdapat di dalam usus mereka. Kebanyakkan anai-anai juga mempunyai hubungan simbiosis dengan bakteria pengikat nitrogen. Bahan yang dikeluarkan oleh anai-anai merupakan bahan yang telah ditukarkan daripada biojisim lignoselulosa kepada biojisim serangga dan ia telah menyokong sebahagian besar daripada kepelbagaian biologi veterbrata tropika termasuk spesis lain seperti amfibia, reptilia, burung dan haiwan mamalia yang memakan serangga di dalam tanah.

Mengapa Anai-Anai Dianggap Serangga Perosak?
Anai-anai boleh memberi kerugian yang besar kepada manusia. Mereka dikenali sebagai serangga perosak kayu di dalam rumah. Bukan itu sahaja, mereka juga serangga perosak dalam sektor agrikultur.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa kerugian yang disebabkan oleh anai-anai adalah empat kali ganda ruginya daripada terlibat dengan kebakaran. Di kawasan bandar, anai-anai akan merosakkan struktur kayu seperti bingkai pintu, kabinet dapur, lantai parket dan juga kekuda bumbung.

Di Malaysia, Coptotermis sp. adalah spesis yang paling biasa ditemui dan mengakibatkan kerosakan pada bangunan. Satu koloni anai-anai boleh mencari makanan sejauh 100 meter di sekitar sarangnya. Mereka juga boleh menyerang tingkat bangunan yang paling tinggi.
Pada tahun 2014, Kedah, seorang lelaki telah mati setelah jatuh daripada lantai kayu yang telah dimakan anai-anai dan kes lain yang dilaporkan pada tahun 2006, tangki air telah terjatuh daripada syiling rumah kerana kayu yang menyokongnya telah dimakan oleh anai-anai.

Genus Coptotermis juga dikenali sebagai anai-anai yang paling banyak menyebabkan kerosakan di dalam sektor agrikultur di Malaysia. Mereka biasanya menyerang pokok getah dan pokok manga dimana ia telah menyebabkan kerugian yang besar di dalam industri. Anai-anai kebiasaannya menyerang bahagian dalam isi kayu dan memakannya sebelum memakan bahagian luar. Pokok yang telah diserang akan mati dan tumbang. Agak mudah untuk mengenali pokok yang telah diserang oleh anai-anai iaitu dengan melihat daun yang baru tumbuh. Daun tersebut serta daun-daun yang lain akan kekuning-kuningan.

Bagaimanakah Anai-Anai Menyerang Bangunan Anda?
Anai-anai memasuki kawasan bangunan melalui retakan dalaman asas bangunan dan jurang di antara lantai dan dinding. Selain itu, saluran elektrik serta paip air yang dipasang di dalam dinding dan juga saluran kabel telefon merupakan tempat yang paling strategik  bagi mereka untuk menembusi ke dalam bangunan.

Setelah anai-anai berjaya memasuki kedalam bangunan, serangannya tidak akan disedari selama berbulan-bulan kerana mereka menyembunyikan kehadirannya dengan tiub lumpur ataupun mereka bergerak di belakang struktur kayu. Kebiasaannya serangan tidak disedari kerana anai-anai tidak memakan bahagian luar kayu. Sebagai contoh, jika anai-anai mengerumi lantai parket, mereka tidak akan memakan lapisan lak tersebut.

Bagaimana Untuk Mengurangkan Serangan Anai-Anai?
Anai-anai terutamanya spesis subteranian merupakan anai-anai yang menjadi mimpi ngeri bagi pemilik rumah di kawasan tropika seperti Malaysia. Setiap tahun, pemilik rumah akan membelanjakan berjuta ringgit untuk menggantikan kerosakan dan juga kos pembaikan.
Penyelenggaraan bangunan adalah penting untuk menghapuskan dan mencegah keadaan yang kondusif untuk aktiviti anai-anai dalam atau di sekitar bangunan. Malah bangunan yang diselenggara dengan baik juga tidak terkecuali oleh serangan anai-anai subteranian. Seperti yang kita sedia maklum, mereka mampu mencari makanan sejauh 100 meter daripada sarangnya.

Pemeriksaan daripada pengendali makhluk perosak yang profesional adalah salah satu cara terbaik untuk mengatasi masalah anai-anai sebelum mereka merebak dan menyebabkan nilai kerosakan yang tinggi pada bangunan anda. Walaupun pemeriksaan ini tidak dilakukakan pada setiap tahun, namun anda haruslah menjadikan ia satu keperluan bagi melakukan pemeriksaan sendiri ketika menjalankan kerja-kerja rutin harian. Pemeriksaan yang terbaik bukan sahaja melihat kehadiran anai-anai, namun juga melihat keadaan yang kondusif bagi aktivitinya.

Di bawah merupakan tips bagi mengurangkan risiko masalah anai-anai di dalam dan di luar rumah anda.

Rancang Sebelum Menanam
Sebelum anda membeli dan menanam pokok-pokok kegemaran anda di sekeliling rumah, anda haruslah memikirkan berapa besar pokok tersebut akan membesar setelah 10 ke 15 tahun akan datang. Anda tidak seharusnya menanam pokok terlalu hampir dengan asas bangunan rumah anda. Pokok yang hampir dengan rumah mampu menyembunyikan aktiviti anai-anai dan juga haiwan makhluk perosak yang lain. Hujung ranting pokok mahupun tumbuhan renek yang menyentuh bangunan anda akan menyediakan laluan masuk bagi semut misalnya, ke dalam rumah anda. Cantas ranting-ranting mahupun daun-daun pokok anda bagi mengelakkan ia daripada menyekat pengaliran udara daripada melalui lubang asas bangunan anda.

Mengurangkan Penggunaan Sungkup di Landskap.
Berhati-hati apabila menggunakan sungkup di landskap anda, termasukkan sungkup yang terdiri daripada serpihan kayu dan batu-batu hancur. Anai-anai tidak menyukai nutrisi yang terdapat di dalam sungkup tersebut, namun mereka sangat menghargai kelembapan dan kualiti suhu penebat di dalam sungkup tersebut. Semua jenis sungkup termasuk penutup bumi bukan organik seperti plastik hitam dan batu-batuan, akan membantu mengekalkan kelembapan tanah dan mengurangkan kehadiran rumput rumpai. Kelembapan di dalam tanah tersebut akan menarik minat anai-anai untuk memakan sungkup yang mengandungi selulosa.

Lindungi  Siding Anda.
Siding sebaik-baiknya berada 15cm di atas gred atau garis tanah, jika tidak anda mungkin akan mengalami masalah pereputan dan masalah anai-anai. Pastikan tumbuh-tumbuhan anda tidak menyentuh asas rumah. Elakkan daripada menggali tanah dalam jarak 15cm daripada bangunan anda atau menambah tanah baru di atas tanah anda kerana ia boleh membenarkan anai-anai untuk memasuki asas rumah anda. Hapuskan mana-mana sambungan antara tanah dan kayu.

Praktis bagi bangunan yang baik adalah  memastikan struktur kayu tidak menyentuh tanah. Pastikan produk kayu seperti ukiran kayu, hujung bingkai pintu dan tingkap sekurang-kurangnya 12cm di atas paras tanah. Hal ini bagi mengurangkan anai-anai daripada mengakses tiga perkara yang mereka perlukan iaitu makanan, kelembapan dan tempat tinggal. Anda dapat menyekat kemasukan anai-anai dengan menjauhkan kayu daripada tanah anda.

Menggunakan Kayu Tahan Anai-Anai
Rekaan bentuk bangunan yang tidak teliti boleh menyumbang kepada serangan anai-anai. Kita haruslah mengenalpasti dan membetulkan bahagian bangunan yang boleh menarik atau menggalakkan serangan anai-anai. Penggunaan kayu atau bahan binaan yang tahan anai-anai boleh mengurangkan risiko kerosakan. Terdapat banyak bangunan yang telah menjadi mangsa kepada serangan anai-anai disebabkan pemilihan kayu yang tidak tepat. Ciri-ciri seperti ketumpatannya, sifat kekuatan kayu tersebut, ketahanan semulajadinya serta tahan terhadap serangan anai-anai adalah penting bagi mendapatkan kayu yang terbaik.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik tempatan, termasuklah Forest Research Institute of Malaysia (FRIM), terdapat beberapa kayu yang dikenalpasti sebagai kayu tahan terhadap serangan anai-anai. Contohnya Balau, Bekak, Belian, Bitis, Chengal, Gelam, Giam, Ipil, Kundang, Leban, Malabera, Malagangai, Merbau, Merbau Lalat, Pelawan, Penaga, Penyau, Ranggu, Resak, Teak, Temak Batu, Tembusu dan Tempinis. Spesis ini diklasifikasikan sebagai kayu yang tahan lama dan ia telah diuji ketahanannya dengan menanamkan sebahagian daripada kayu tersebut di dalam tanah. Rintangan kayu dipengaruhi oleh umur, saiz, asal pokok tersebut diperolehi dan bahagian batang kayu yang digunakan
.
Menggunakan Kayu yang Dirawat dan Bahan Siding yang Rintang.
Walaupun terdapat beberapa spesis kayu yang mudah diserang oleh anai-anai, namun mereka boleh dilindungi dengan menggunakan bahan pengawet kayu. Spesis kayu yang sesuai di Malaysia ialah Jelutong, Merbau, Ramin dan Tualang.

Kayu yang terawat juga boleh digunakan di bahagian bangunan yang lain seperti  di bahagian bingkai. Jenis dan kepekatan rawatan kimia yang digunakan akan menentukan dimana ia boleh digunakan. Walaupun kos pembinaan menjadi tinggi disebabkan penggunaan kayu terawat yang terlalu banyak, namun ia adalah salah satu kaedah bagi berurusan dengan anai-anai.

Bangunan yang terdiri daripada bahan yang tahan anai-anai bukanlah perkara baru, malah telah lama digunakan sejak awal tahun 1900. Terdapat beberapa bahan binaan yang tahan anai-anai dan terkini ialah lantai kayu yang semakin mendapat perhatian penduduk Malaysia. Bahan ini diperolehi secara meluas sebagai altenatif kepada siding konvensional dan bahan-bahan lain yang biasanya mudah diserang oleh anai-anai dan makhluk perosak kayu yang lain. Pengeluar mendakwa bahan tersebut tahan anai-anai dan tahan reput bagi tempoh yang panjang serta jaminan yang terhad sama seperti yang anda inginkan sebelum menggunakan bahan ini. Kayu yang terawat lebih mahal harganya berbanding harga bahan binaan konvensional yang lain. Walaubagaimanapun, ketahanan jangka panjangnya dan tahan terhadap makhluk perosak juga perlu dipertimbangkan. Seeloknya kita melabur lebih dalam kos pembinaan dan pengubahusaian daripada membelanjakan jumlah wang yang lebih banyak bagi pembaikan kelak.

Anai-anai boleh memakan hampir semua bahan yang mengandungi selulosa. Oleh itu, menggunakan kayu terawat bukan jaminan bagi anai-anai untuk tidak menyerang rumah anda dan merosakkan bahagian kayu lain yang tidak dirawat, atau apa-apa bahan daripada selulosa. Namun, kayu terawat boleh mengurangkan serangan anai-anai. Kayu terawat bukan pengganti bagi penyelenggaraan dan pemeriksaan rutin anai-anai di bangunan anda.
Selain daripada praktis diatas, ini adalah salah satu tips tambahan bagi pengurangan anai-anai.

Buang semua kayu yang telah mati, tunggul kayu, akar kayu daripada bangunan anda.
Baiki semua kepala paip yang bocor, terutamanya kepala paip diluar, paip air dan penyaman udara.

Wujudkan satu laluan air bersebelahan dengan asas rumah anda supaya air yang berada di permukaan boleh dialirkan keluar daripada bangunan anda.

Pastikan harta benda anda diskrin dan ditutup. Memasang skrin pada loteng dan asas ruang udara rumah anda untuk membantu mencegah anai-anai daripada memasuki melaluinya. Selain itu, anda perlu menutup lubang atau mana-mana retak di bingkai pintu dan tingkap rumah anda dengan menggunakan dempul kayu.

Memeriksa utiliti dan kotak servis yang melekat pada bangunan anda bagi memastikan mereka ditutup dan tidak menyediakan tempat tinggal atau titik masuk bagi anai-anai.