Anai-anai merupakan serangga di bawah kumpulan Isoptera.
Isoptera merujuk kepada peringkat pembiakan dewasa yang mempunyai dua pasang
sayap yang sama saiznya. Struktur badannya yang ringkas menunjukkan anai-anai
telah berpecah daripada moyangnya semasa evolusi serangga melalui metamorphosis
berperingkat sejak zaman dahulu kala lagi. Walaupun morfologinya ringkas namun
anai-anai sangat maju dalam tingkah laku sosialnya.
Taburan terkini menunjukkan bahawa terdapat 2800 nama
spesis yang sah dalam 285 genera di muka bumi ini.
Sebahagian besar anai-anai terdapat di kawasan tropika
dan ia adalah serangga sosial yang sama seperti semut, tebuan dan lebah. Mereka
mempamerkan penjagaan induk dalam kalangan komuniti sosial atau koloninya.
Koloni adalah satu keluarga besar serangga. Dalam keluarga ini terdapat
pertindihan di antara ibubapa dan generasi anak-anaknya. Sesetengah anaknya
akan berpecah daripada pertumbuhan biasa untuk menjadi kasta yang lain.
Anai-anai tidak seperti serangga lain yang mempunyai satu laluan pertumbuhan,
ia mempunya laluan pertumbuhan yang bercabang.
Keluarga
Anai-anai dikatakan hidup di dalam koloni tetapi ini
adalah mengelirukan. Koloni merupakan sebuah keluarga serangga yang besar.
Salah satu ciri yang paling mendalam dan menentukan keluarga anai-anai ialah ia
dibina di atas monogami. Anai-anai adalah serangga yang setia. Mereka mungkin
kumpulan haiwan yang paling monogami di muka bumi. Hasil evolusi daripada
komitmen ini kepada monogami melahirkan sebuah keluarga yang besar dan
bersepadu. Ahli biologi menyatakan bahawa koloni anai-anai merupakan koloni
yang paling canggih berkembang di alam semesta. Manusia juga tidak secanggih
anai-anai dalam perkembangan koloni namun manusia sangat canggih dalam sistem
sosial.
Koloni anai-anai terdiri daripada 3 kasta asas iaitu
pekerja, askar dan pembiak.
Telur:
Telur akan menetas menjadi larva yang belum matang dan ia
masih tidak mampu untuk makan sendiri. Secara genetiknya, larva berkemampuan
untuk membentuk menjadi mana-mana kasta. Masa dan cara pemakanan anai-anai yang
menentukan laluan pembentukkannya untuk menjadi kasta yang bersesuaian.
Pekerja:
Anai- anai Pekerja terdiri daripada sebahagian besar
daripada populasi. Dalam peringkat anai-anai rendah, terdapat pseudergate
palsu yang mengekalkan potensinya untuk menjadi kelkatu. Pekerja akan menyuap
makan kepada nimfa, askar dan anai-anai pembiak. Mereka juga menggali
terowong, mencari makanan dan minuman, serta membina dan membaiki sarangnya.
Bagi sesetengah spesis, mereka juga perlu membersihkan kulat.
Askar:
Askar terbentuk daripada nimfa, pseudergate dan
pekerja. Metamorposis berlaku melalui proses molting. Peringkat peralihan
dipanggil pra-askar. Askar mempunyai bahagian mulut yang istimewa bagi tujuan
pertahanan untuk menentang pelbagai pemangsa seperti semut dan lipan.
Pembiak:
Pembiak terbentuk daripada kelkatu ataupun neotenic.
Kelkatu adalah anai-anai bersayap dan hanya dihasilkan pada musim-musim
tertentu. Kelkatu akan membentuk sayap dan mata kompaun untuk terbang keluar.
Setelah terbang keluar, kelkatu akan melepaskan sayapnya dan dikenali sebagai
kelkatu tidak bersayap. Kelkatu tidak bersayap akan membentuk seiring dengan
pasangannya bagi tujuan mengawan dan seterusnya akan membentuk satu keluarga.
Pasangan itu akan menjadi permaisuri dan raja bagi koloni yang baru.
Pembiak Utama:
Saiz betina mahupun permaisuri berbeza mengikut spesis.
Kebiasaan, saiznya ialah 10cm dan mampu menghasilkan beribu-ribu telur sehari.
Permaisuri tidak boleh bergerak dan bergantung sepenuhnya terhadap
pekerja. Die dibersihkan dan diberi makan oleh pekerja. Dia juga ditemani
oleh pasangannya yang kecil iaitu raja. Satu koloni kebiasaanya mempunyai satu
permaisuri dan satu raja tetapi kadangkala sesetengah spesis juga berisiko
mempunyai beberapa pembiak.
Kitaran Hidup
Anai-anai subteranian adalah anai-anai yang menghuni di
dalam tanah dan merupakan serangga sosial yang hidup dalam koloni. Koloni
anai-anai subteranian boleh hidup sejauh 18-20 kaki daripada permukaan tanah
bagi melindungi mereka daripada cuaca yang melampau.
Koloni anai-anai yang matang mempunyai tiga kasta iaitu
pembiak (raja dan permaisuri), askar dan pekerja.
Koloni baru akan terbentuk apabila anai-anai jantan dan
anai-anai betina yang bersayap (kelkatu) terbang keluar daripada koloni asal.
Kesemua kelkatu jantan dan betina akan terbang keluar pada jarak yang
berbeza-beza dan peratus bagi mereka membina sebuah koloni yang baru adalah
amat kecil. Hal ini kerana, mereka mungkin akan diserang oleh pemangsa seperti
burung, katak, serangga lain dan kebanyakkannya mati disebabkan dihidrasi dan
kecederaan.
Pasangan kelkatu yang berjaya hidup akan terus membuat
satu sarang kecil di dalam tanah sebelum mereka mengawan. Mereka akan menggali
tanah yang berhampiran dengan kayu kemudian akan memasuki ruang tersebut dan
menutup semula pembukaannya. Pada permulaannya, permaisuri hanya bertelur
beberapa biji telur sahaja. Anai-anai betina yang subur hanya menghasilkan 6 ke
20 biji telur pada enam bulan pertama selepas mereka keluar daripada sarang
asalnya dan mereka mungkin akan menghasilkan lebih daripada 60,000 telur
sepanjang hayat mereka. Raja anai-anai akan tinggal bersama permaisurinya untuk
proses mengawan secara berkala bagi memastikan jumlah telur mereka akan
berkembang secara berterusan. Permaisuri mereka juga mampu untuk hidup sehingga
25 tahun.
Kelakuan Anai-Anai.
Permaisuri anai-anai boleh hidup sehingga 25 tahun dan
mampu bertelur sebanyak 60,000 telur sepanjang hayat mereka. Telur anai-anai
berwarna kuning keputihan dan akan menetas selepas 50-60 hari pengeraman.
Telur anai-anai tidak dihasilkan secara berterusan dan
hanya beberapa ratus sahaja yang dihasilkan pada tahun pertama. Pada tahun
berikutnya, permaisuri anai-anai akan semakin membesar dan menghasilkan lebih
banyak telur. Telur akan menetas menjadi larva dalam beberapa minggu dan ia
akan dijaga oleh raja dan permaisuri anai-anai. Koloni mereka akan stabil
apabila permaisurinya mencapai tahap maksimum bagi pengeluaran telur. Jika
permaisurinya mati, maka pembiak kedua akan mengambil alih tugas permaisuri.
Anai-Anai Pekerja.
Selepas mengalami fasa larva, anai-anai akan membesar
menjadi pekerja. Anai-anai pekerja mempunyai badan yang lembut, tidak bersayap,
buta dan berwarna putih krim. Saiz mereka dalam 1/8 inci panjang dan tidak
mempunyai sayap.
Mereka melakukan kesemua kerja dalam koloninya seperti
mendapatkan makanan, menyuap makanan kepada kasta anai-anai yang lain, menjaga
larva, mengorek kayu dan membina terowong. Anai-anai pekerja akan matang dalam
masa setahun dan boleh hidup dalam masa tiga ke lima tahun.
Kita selalu tertanya-tanya bagaimanakah makhluk kecil
yang berbadan lembut ini boleh merosakkan harta kita dan bagaimana mereka boleh
mencerna bahan-bahan yang mempunyai selulosa yang keras.
Jawapannya, walaupun mereka mempunyai badan yang lembut,
namun rahangnya yang keras dan tajam boleh mengoyakkan dan mampu untuk
menggigit bahagian-bahagian kecil kayu pada sesuatu masa. Anai-anai selalunya
menyerang bangunan, kayu yang rosak, panel kayu, lantai, kertas dinding,
plastik, produk kertas dan kain yang diperbuat daripada serat tumbuh-tumbuhan.
Anai-anai subteranian tidak boleh mencerna selulosa
secara terus. Mereka bergantung kepada protozoa yang hidup di dalam perut
anai-anai bagi memecahkan selulosa kepada asid asetik ringkas. Pekerja
anai-anai dan nimfa dewasa akan memakan kayu dan berkongsi khasiatnya bersama
generasi yang muda, pekerja-pekerja, askar dan pembiak.
Anai-Anai Askar.
Sinonim dengan namanya, tugas anai-anai askar ialah untuk
mempertahankan koloninya daripada musuh seperti semut, lipas dan haiwan lain.
Kebanyakkan spesis, askarnya akan dilengkapi dengan mandibel yang keras dan
besar. Sesetengah spesis pula mempunyai cecair getah yang akan dirembeskan
apabila diserang. Anai-anai askar bergantung kepada anai-anai pekerja untuk
memberi mereka makan dan membersihkan mereka. Beberapa spesis mempunyai purata
askar kepada pekerja sebanyak 2:8.
Kelkatu
Kelkatu dikenali dengan ‘alates/swarmer’ dalam Bahasa
Inggeris. Mereka kebiasaannya terbang keluar selepas waktu hujan. Hal ini
mungkin kerana pada masa tersebut keadaan angin agak sesuai dan suhu yang
selesa. Kelkatu tertarik kepada cahaya dan mereka akan mencari pasangannya pada
waktu tersebut.
Anai-anai hanya mempunyai mata pada peringkat kelkatu.
Apabila mereka telah menemui pasangannya, mereka akan menanggalkan sayapnya dan
mencari tempat untuk membina koloni. Ini adalah permulaan bagi koloni baru.
Mereka akan mengawan dan anai-anai betina akan mula
bertelur. Anai-anai betina seterusnya akan menjadi permaisuri dan anai-anai
jantan akan menjadi raja. Permaisuri masih mencari makanan pada generasi nimfa
mereka yang pertama.
Ekologi Anai-Anai.
Makanan bagi anai-anai ialah sel tumbuhan yang telah
mati, kayu, daun-daun kering, tumbuhan rendah yang telah mati, rumput, najis
dan humus. Secara kimianya, makanan mereka boleh dikategorikan sebagai bahan
lignoselulosa, iaitu bahan yang kaya dengan bahan organik di dalam biosphera.
Anai-anai mampu mencernakan selulosa, dan beberapa spesis lain mampu untuk
mencernakan lignin, dengan bantuan daripada simbiosis protozoa dan bakteria
yang terdapat di dalam usus mereka. Kebanyakkan anai-anai juga mempunyai
hubungan simbiosis dengan bakteria pengikat nitrogen. Bahan yang dikeluarkan
oleh anai-anai merupakan bahan yang telah ditukarkan daripada biojisim
lignoselulosa kepada biojisim serangga dan ia telah menyokong sebahagian besar
daripada kepelbagaian biologi veterbrata tropika termasuk spesis lain seperti
amfibia, reptilia, burung dan haiwan mamalia yang memakan serangga di dalam
tanah.
Mengapa Anai-Anai Dianggap Serangga Perosak?
Anai-anai boleh memberi kerugian yang besar kepada
manusia. Mereka dikenali sebagai serangga perosak kayu di dalam rumah. Bukan
itu sahaja, mereka juga serangga perosak dalam sektor agrikultur.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa kerugian yang
disebabkan oleh anai-anai adalah empat kali ganda ruginya daripada terlibat
dengan kebakaran. Di kawasan bandar, anai-anai akan merosakkan struktur kayu
seperti bingkai pintu, kabinet dapur, lantai parket dan juga kekuda bumbung.
Di Malaysia, Coptotermis sp. adalah spesis yang
paling biasa ditemui dan mengakibatkan kerosakan pada bangunan. Satu koloni
anai-anai boleh mencari makanan sejauh 100 meter di sekitar sarangnya. Mereka
juga boleh menyerang tingkat bangunan yang paling tinggi.
Pada tahun 2014, Kedah, seorang lelaki telah mati setelah
jatuh daripada lantai kayu yang telah dimakan anai-anai dan kes lain yang
dilaporkan pada tahun 2006, tangki air telah terjatuh daripada syiling rumah
kerana kayu yang menyokongnya telah dimakan oleh anai-anai.
Genus Coptotermis juga dikenali sebagai anai-anai yang
paling banyak menyebabkan kerosakan di dalam sektor agrikultur di Malaysia.
Mereka biasanya menyerang pokok getah dan pokok manga dimana ia telah
menyebabkan kerugian yang besar di dalam industri. Anai-anai kebiasaannya
menyerang bahagian dalam isi kayu dan memakannya sebelum memakan bahagian luar.
Pokok yang telah diserang akan mati dan tumbang. Agak mudah untuk mengenali
pokok yang telah diserang oleh anai-anai iaitu dengan melihat daun yang baru
tumbuh. Daun tersebut serta daun-daun yang lain akan kekuning-kuningan.
Bagaimanakah Anai-Anai Menyerang Bangunan Anda?
Anai-anai memasuki kawasan bangunan melalui retakan
dalaman asas bangunan dan jurang di antara lantai dan dinding. Selain itu,
saluran elektrik serta paip air yang dipasang di dalam dinding dan juga saluran
kabel telefon merupakan tempat yang paling strategik bagi mereka untuk
menembusi ke dalam bangunan.
Setelah anai-anai berjaya memasuki kedalam bangunan,
serangannya tidak akan disedari selama berbulan-bulan kerana mereka
menyembunyikan kehadirannya dengan tiub lumpur ataupun mereka bergerak di
belakang struktur kayu. Kebiasaannya serangan tidak disedari kerana anai-anai
tidak memakan bahagian luar kayu. Sebagai contoh, jika anai-anai mengerumi
lantai parket, mereka tidak akan memakan lapisan lak tersebut.
Bagaimana Untuk Mengurangkan Serangan Anai-Anai?
Anai-anai terutamanya spesis subteranian merupakan
anai-anai yang menjadi mimpi ngeri bagi pemilik rumah di kawasan tropika
seperti Malaysia. Setiap tahun, pemilik rumah akan membelanjakan berjuta
ringgit untuk menggantikan kerosakan dan juga kos pembaikan.
Penyelenggaraan bangunan adalah penting untuk
menghapuskan dan mencegah keadaan yang kondusif untuk aktiviti anai-anai dalam
atau di sekitar bangunan. Malah bangunan yang diselenggara dengan baik juga
tidak terkecuali oleh serangan anai-anai subteranian. Seperti yang kita sedia
maklum, mereka mampu mencari makanan sejauh 100 meter daripada sarangnya.
Pemeriksaan daripada pengendali makhluk perosak yang
profesional adalah salah satu cara terbaik untuk mengatasi masalah anai-anai
sebelum mereka merebak dan menyebabkan nilai kerosakan yang tinggi pada
bangunan anda. Walaupun pemeriksaan ini tidak dilakukakan pada setiap tahun,
namun anda haruslah menjadikan ia satu keperluan bagi melakukan pemeriksaan
sendiri ketika menjalankan kerja-kerja rutin harian. Pemeriksaan yang terbaik
bukan sahaja melihat kehadiran anai-anai, namun juga melihat keadaan yang
kondusif bagi aktivitinya.
Di bawah merupakan tips bagi mengurangkan risiko masalah
anai-anai di dalam dan di luar rumah anda.
Rancang Sebelum Menanam
Sebelum anda membeli dan menanam pokok-pokok kegemaran
anda di sekeliling rumah, anda haruslah memikirkan berapa besar pokok tersebut
akan membesar setelah 10 ke 15 tahun akan datang. Anda tidak seharusnya menanam
pokok terlalu hampir dengan asas bangunan rumah anda. Pokok yang hampir dengan
rumah mampu menyembunyikan aktiviti anai-anai dan juga haiwan makhluk perosak
yang lain. Hujung ranting pokok mahupun tumbuhan renek yang menyentuh bangunan
anda akan menyediakan laluan masuk bagi semut misalnya, ke dalam rumah anda.
Cantas ranting-ranting mahupun daun-daun pokok anda bagi mengelakkan ia
daripada menyekat pengaliran udara daripada melalui lubang asas bangunan anda.
Mengurangkan Penggunaan Sungkup di Landskap.
Berhati-hati apabila menggunakan sungkup di landskap
anda, termasukkan sungkup yang terdiri daripada serpihan kayu dan batu-batu
hancur. Anai-anai tidak menyukai nutrisi yang terdapat di dalam sungkup
tersebut, namun mereka sangat menghargai kelembapan dan kualiti suhu penebat di
dalam sungkup tersebut. Semua jenis sungkup termasuk penutup bumi bukan organik
seperti plastik hitam dan batu-batuan, akan membantu mengekalkan kelembapan
tanah dan mengurangkan kehadiran rumput rumpai. Kelembapan di dalam tanah
tersebut akan menarik minat anai-anai untuk memakan sungkup yang mengandungi
selulosa.
Lindungi Siding Anda.
Siding sebaik-baiknya berada 15cm di atas gred
atau garis tanah, jika tidak anda mungkin akan mengalami masalah pereputan dan
masalah anai-anai. Pastikan tumbuh-tumbuhan anda tidak menyentuh asas rumah.
Elakkan daripada menggali tanah dalam jarak 15cm daripada bangunan anda atau
menambah tanah baru di atas tanah anda kerana ia boleh membenarkan anai-anai
untuk memasuki asas rumah anda. Hapuskan mana-mana sambungan antara tanah dan
kayu.
Praktis bagi bangunan yang baik adalah memastikan
struktur kayu tidak menyentuh tanah. Pastikan produk kayu seperti ukiran kayu,
hujung bingkai pintu dan tingkap sekurang-kurangnya 12cm di atas paras tanah.
Hal ini bagi mengurangkan anai-anai daripada mengakses tiga perkara yang mereka
perlukan iaitu makanan, kelembapan dan tempat tinggal. Anda dapat menyekat
kemasukan anai-anai dengan menjauhkan kayu daripada tanah anda.
Menggunakan Kayu Tahan Anai-Anai
Rekaan bentuk bangunan yang tidak teliti boleh menyumbang
kepada serangan anai-anai. Kita haruslah mengenalpasti dan membetulkan bahagian
bangunan yang boleh menarik atau menggalakkan serangan anai-anai. Penggunaan
kayu atau bahan binaan yang tahan anai-anai boleh mengurangkan risiko
kerosakan. Terdapat banyak bangunan yang telah menjadi mangsa kepada serangan
anai-anai disebabkan pemilihan kayu yang tidak tepat. Ciri-ciri seperti
ketumpatannya, sifat kekuatan kayu tersebut, ketahanan semulajadinya serta
tahan terhadap serangan anai-anai adalah penting bagi mendapatkan kayu yang
terbaik.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik
tempatan, termasuklah Forest Research Institute of Malaysia (FRIM), terdapat
beberapa kayu yang dikenalpasti sebagai kayu tahan terhadap serangan anai-anai.
Contohnya Balau, Bekak, Belian, Bitis, Chengal, Gelam, Giam, Ipil, Kundang,
Leban, Malabera, Malagangai, Merbau, Merbau Lalat, Pelawan, Penaga, Penyau,
Ranggu, Resak, Teak, Temak Batu, Tembusu dan Tempinis. Spesis ini
diklasifikasikan sebagai kayu yang tahan lama dan ia telah diuji ketahanannya
dengan menanamkan sebahagian daripada kayu tersebut di dalam tanah. Rintangan
kayu dipengaruhi oleh umur, saiz, asal pokok tersebut diperolehi dan bahagian
batang kayu yang digunakan
.
Menggunakan Kayu yang Dirawat dan Bahan Siding
yang Rintang.
Walaupun terdapat beberapa spesis kayu yang mudah
diserang oleh anai-anai, namun mereka boleh dilindungi dengan menggunakan bahan
pengawet kayu. Spesis kayu yang sesuai di Malaysia ialah Jelutong, Merbau,
Ramin dan Tualang.
Kayu yang terawat juga boleh digunakan di bahagian
bangunan yang lain seperti di bahagian bingkai. Jenis dan kepekatan
rawatan kimia yang digunakan akan menentukan dimana ia boleh digunakan.
Walaupun kos pembinaan menjadi tinggi disebabkan penggunaan kayu terawat yang
terlalu banyak, namun ia adalah salah satu kaedah bagi berurusan dengan
anai-anai.
Bangunan yang terdiri daripada bahan yang tahan anai-anai
bukanlah perkara baru, malah telah lama digunakan sejak awal tahun 1900.
Terdapat beberapa bahan binaan yang tahan anai-anai dan terkini ialah lantai
kayu yang semakin mendapat perhatian penduduk Malaysia. Bahan ini diperolehi
secara meluas sebagai altenatif kepada siding konvensional dan
bahan-bahan lain yang biasanya mudah diserang oleh anai-anai dan makhluk
perosak kayu yang lain. Pengeluar mendakwa bahan tersebut tahan anai-anai dan
tahan reput bagi tempoh yang panjang serta jaminan yang terhad sama seperti
yang anda inginkan sebelum menggunakan bahan ini. Kayu yang terawat lebih mahal
harganya berbanding harga bahan binaan konvensional yang lain.
Walaubagaimanapun, ketahanan jangka panjangnya dan tahan terhadap makhluk
perosak juga perlu dipertimbangkan. Seeloknya kita melabur lebih dalam kos
pembinaan dan pengubahusaian daripada membelanjakan jumlah wang yang lebih
banyak bagi pembaikan kelak.
Anai-anai boleh memakan hampir semua bahan yang
mengandungi selulosa. Oleh itu, menggunakan kayu terawat bukan jaminan bagi
anai-anai untuk tidak menyerang rumah anda dan merosakkan bahagian kayu lain
yang tidak dirawat, atau apa-apa bahan daripada selulosa. Namun, kayu terawat
boleh mengurangkan serangan anai-anai. Kayu terawat bukan pengganti bagi
penyelenggaraan dan pemeriksaan rutin anai-anai di bangunan anda.
Selain daripada praktis diatas, ini adalah salah satu
tips tambahan bagi pengurangan anai-anai.
Buang semua kayu yang telah mati, tunggul kayu, akar kayu
daripada bangunan anda.
Baiki semua kepala paip yang bocor, terutamanya kepala
paip diluar, paip air dan penyaman udara.
Wujudkan satu laluan air bersebelahan dengan asas rumah
anda supaya air yang berada di permukaan boleh dialirkan keluar daripada
bangunan anda.
Pastikan harta benda anda diskrin dan ditutup. Memasang
skrin pada loteng dan asas ruang udara rumah anda untuk membantu mencegah
anai-anai daripada memasuki melaluinya. Selain itu, anda perlu menutup lubang
atau mana-mana retak di bingkai pintu dan tingkap rumah anda dengan menggunakan
dempul kayu.
Memeriksa utiliti dan kotak servis yang melekat pada
bangunan anda bagi memastikan mereka ditutup dan tidak menyediakan tempat
tinggal atau titik masuk bagi anai-anai.